Wednesday, September 23, 2009

MAKNA AQIDAH DAN IMAN

Ilmu aqidah adalah ilmu yang berkait dengan keyakinan hati. Sesuatu yang menjadi aqidah ialah yang telah diyakini oleh hati. Gandingan kepada aqidah ialah syari’at iaitu ilmu yang berkait dengan gerak-laku anggota (iaitu amalan, perbuatan dan pergerakan). Menurut ulamak, agama Islam terdiri dari dua cabang utama;
a) Aqidah
b) Syariah
(Lihat; buku “al-Islam, aqidatan wa syari’atan” karangan Syeikh Syaltut)

Perkataan Aqidah berasal dari kata kerja “عقد” (‘aqada) dalam bahasa Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan. Melihat kepada bahasa, Aqidah ialah; “Kepercayaan dan keyakinan yang terikat dan tersimpul kukuh di dalam hati”. Bermakna apabila sesuatu itu telah menjadi aqidah di dalam diri seseorang, ia akan terus diyakini dan dipercayai oleh hatinya sampai bila-bila hingga ke akhir hayatnya. Adapun Iktiqad (الاعتقاد), ia bermakna menjadikan sesuatu sebagai ‘aqidah iaitu mengikat hati dan dhamir (perasaan) kepadanya dan membina kepatuhan kepada Allah melalui aqidah tersebut.

Dari sudut pengertian Syarak, menurut Syeikh Nuh ‘Ali Salman (dalam kitabnya Al-Mukhtasar al-Mufid Syarah Jauharah at-Tauhid); ‘Aqidah ialah; “Perkara yang wajib diyakini oleh setiap orang Islam dengan keyakinan yang jazam sama ada yang sabit dengan dalil yang qat’ie atau dzanni” (halaman 17). Keyakinan yang jazam bermaksud keyakinan yang bulat dan penuh tanpa ada sedikitpun keraguan atau kesangsian. Dalil yang qat’ie ialah al-Quran atau as-Sunnah yang mutawatir di mana sesiapa mengingkarinya maka ia kufur atau murtad dari agama. Adapun perkara yang sabit dengan dalil dzannie ialah yang sabit dengan hadis Ahad di mana orang yang mengingkarinya tidaklah kufur, tetapi berdosa.

Di dalam al-Quran dan Hadis, perkataan yang digunakan ialah al-Iman (iman). Gandingan kepada al-Iman ialah al-‘Amal as-Soleh (amal soleh). Antara contoh ayat di dalam al-Quran;

إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلاً، خَالِدِينَ فِيهَا لاَ يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلاً
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga firdaus menjadi tempat tinggal”. (al-Kahfi: 107-108)

إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk” (al-Bayyinah: 7).

Perkataan iman di dalam ayat di atas merujuk kepada aqidah iaitu keyakinan hati. Perkataan amal soleh pula merujuk kepada Syari’ah (amalan, gerak-laku anggota).
Iman dari segi bahasa bermakna at-tasdiq (membenarkan). Dari segi Syarak, Iman adalah at-tasdiq yang khusus kepada Nabi (تصديق النبي) iaitu; “Membenarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan mempercayai dan meyakini segala yang dibawa oleh baginda dari ilmu dan ajaran agama”. Orang beriman ialah orang yang membenarkan segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya, iaitu ia mempercayai dan meyakininya dengan penuh tanpa keraguan sedikitpun sebagaimana dalam makna aqidah tadi.

Tempat tasdiq ialah di hati, iaitu hati meyakini dan menerima sesuatu. Berkata Imam al-Ghazali; “At-Tasdiq secara khususnya bertempat di hati. Adapun lidah adalah penterjemahnya sahaja” (Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, jil. 1, hlm. 116). Lebih tepat –menurut ulamak-; tasdiq ialah perkataan atau suara hati (حديث النفس) yang bersifat jazam (tetap dan teguh, tanpa ada syak atau ragu sedikitpun) seperti hati berkata pada dirinya; “Aku redha dan aku yakin dengan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.”.

Setakat pengertian di atas, aqidah dan iman adalah dua perkataan yang merujuk kepada makna yang sama iaitu keyakinan dan kepercayaan yang berhubung-kait dengan hati. Namun bukan dalam semua keadaan iman menyamai aqidah secara sepenuhnya. Iman ada ketikanya merangkumi juga amalan. Sebagai contohnya, firman Allah;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ، الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ، أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezki (ni`mat) yang mulia”. (al-Anfal: 2-5)

Di dalam ayat ini, Allah menyebutkan tentang mukmin yang sebenar. Antara cirinya ialah menunaikan solat dan menginfakkan harta (termasuk dalam pengertiannya mengeluarkan zakat). Ayat ini jelas mengaitkan iman dengan amalan.

Para ulamak menjelaskan; iman jika ia didatangkan di dalam al-Quran dengan digandingkan bersama amal soleh (sebagaimana ayat sebelum ini), maka ia merujuk kepada keyakinan dan kepercayaan hati sahaja. Adapun jika ia didatangkan secara tunggal (tanpa digandingkan dengan amal soleh) maka maknanya adalah lebih luas iaitu merangkumi keyakinan hati dan juga amalan sebagaimana contoh dalam ayat 2-5 dari surah al-Anfal di atas.

Wallahu a’lam.

Monday, September 21, 2009

TANDA AGAMA YANG BENAR

Di antara tanda agama yang benar ialah ia mengajar penganutnya bahawa ketinggian dan keagungan adalah milik Allah. Seorang itu adalah penganut agama yang benar selagi dalam dirinya tiada zat yang paling tinggi dan paling agung melainkan Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang layak dipuja dan disembah. Agama yang benar tidak mengajar manusia untuk menggagung dan memuja manusia termasuk nabi-nabi dan Rasul. Kerana itu Nabi Muhammad s.a.w. berpesan; “Janganlah kamu melampau-lampau menyanjungku sebagaimana orang-orang Nasrani (Kristian) menyanjung Nabi Isa. Aku hanyalah hamba Allah, maka panggillah aku; ‘(Muhammad itu) adalah hamba Allah dan RasulNya’”(Riwayat Imam al-Bukhari dari ‘Umar r.a.).

Di dalam al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa sekelian Nabi dan Rasul datang membawa mesej yang serupa iaitu mengajar manusia tentang Allah dan menyeru mereka agar tidak menyembah melainkan kepada Allah. Firman Allah; “Tidak Kami utuskan sebelum engkau (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya; ‘Bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Aku (Allah). , maka oleh itu hendaklah kamu sekelian menyembahKu” (al-Anbiya’, ayat 25).

Kalimah “Allah” adalah kalimah yang paling banyak disebut dan diulang di al-Quran (hampir 2000 kali). Selaklah helaian al-Quran, nescaya anda akan menemui kalimah Allah yang banyak pada setiap helaiannya. Itu belum lagi dikira kalimah ar-Rabb, al-Ilah dan nama-nama Allah (Asma Allah) yang juga merujuk kepada Allah.

Apabila kita berguru dengan seseorang dan di dalam pengajarannya ia mengajar tentang Allah, tentang Syariat Allah, hukum-hakam Allah, bagaimana untuk taat kepada Allah dan RasulNya, sehingga sepanjang kita bersamanya kita merasakan diri kita semakin hampir dengan Allah, dapat merasai keagungan Allah dan takut kepadaNya, ketahuilah bahawa guru itu benar-benar mengajar kita agama yang benar dan ia berada di atas landasan siratul-mustaqiem.

Namun jika kita berada di hadapan guru yang tidak menyebut melainkan keagungan seseorang (dirinya atau gurunya), memuja orang itu, mendakwa orang itu boleh melakukan itu dan ini, memiliki kehebatan itu dan ini, ada karomah itu dan ini, ia tidak mengajar muridnya untuk mengagung dan memuja Allah, sebaliknya ia mengajar mereka mengagung dan memuja manusia, ketahuilah bahawa guru itu tidak mengajar agama yang benar dan ia telah menyimpang dari siratul-mustaqiem. Hendaklah kita menjauhi guru sebegitu dengan sejauh-jauhnya.

Pegangan agama yang benar pemusatannya ialah pada Allah; mengenali Allah, mengenali Syariat Allah, mengagungkan Allah dan berusaha mencari keredhaanNya (dengan mentaati SyariatNya). Apabila pemusatan ini dialih kepada manusia atau objek lain, maka pegangan itu akan berubah menjadi pegangan sesat walaupun ia asalnya dari agama yang benar. Pengikut-pengikut Nabi Isa .a.s. mula menjadi sesat apabila mereka mengalihkan pemujaan dari Allah kepada Nabi Isa. Kita meyakini bahawa Nabi Isa tidak pernah mengajar penganutnya supaya meletakkan beliau sebagai anak Tuhan. Akan tetapi penganutnya yang berubah menjadi sesat selepas ketiadaannya apabila mereka berlebih-lebihan menyanjung dan memuja beliau sehingga mengangkatnya menjadi anak Tuhan.

Salah satu perbezaan ketara antara Islam dan agama-agama dunia yang lain ialah nama Islam tidak ada kaitan dengan mana-mana individu atau mana-mana bangsa atau tempat di dunia. Kalimah al-Islam bermaksud patuh dan menyerah. Yang memberi nama itu ialah Allah dan nama itu menggambarkan hakikat agama yang direstui Allah iaitu agama yang mengajar manusia agar tunduk dan patuh kepada Allah.

Adapun agama-agama lain, nama mereka diberikan bersempena dengan pengasasnya atau bangsa penganut asalnya atau daerah munculnya agama itu. Agama Kristian diambil namanya bersempena dengan Nabi Isa yang bergelar Crist oleh orang-orang Kristian (*Sudah tentu yang memberi nama itu bukan Allah, akan tetapi diberikan oleh penganut-penganut Kristian sendiri –selepas kematian Isa a.s. kerana mustahil agama Allah diberikan bersempena nama manusia), agama Budha diberi namanya bersempena pengasasnya iaitu ghautama Budha, agama Hindu bersempena dataran Hindus, agama Yahudi bersempena bangsa Yahudi. Jelaslah bahawa agama-agama itu telah berubah menjadi agama bumi walaupun sebahagiannya asalnya adalah agama langit. Hanya Islam sahaja yang kekal sebagai agama langit (yakni agama yang turun dari Allah) sejak dari mula diturunkan hinggalah ke hari ini rentetan dari kekalnya ia di atas misi asal agama yang benar dari Allah iaitu untuk mengajar manusia tentang Allah.

Di dalam masyarakat kita hari ini banyak timbul ajaran sesat. Di asaskan oleh individu-individu yang mengaku menjadi wali, Imam Mahdi atau wakilnya, menguasai kerajaan langit (Ayah Pin), menjadi wakil Tuhan, malah ada yang mengaku sebagai Rasul Melayu. Yang menghairankan; setiap kali muncul ajaran sesat, pasti ada orang Melayu yang terpengaruh dan menjadi pengikutnya. Jika kita perhatikan, ajaran-ajaran sesat ini mempunyai satu persamaan iaitu semuanya terbina di atas pengagungan kepada individu tertentu. Sememangnya orang Melayu mudah terpengaruh dengan orang yang pandai bersembang terutamanya bercakap hal-hal mistik dan luar biasa (walaupun sebenarnya kosong dan dusta semata-mata). Namun itu bukan punca sebenarnya mereka mudah disesatkan. Punca sebenarnya ialah kerana tidak memahami tabiat agama yang benar. Jika mereka memahami tabiat agama yang benar, Insya Allah tidak aka ada orang mampu menyesatkan mereka.

Wallahu a’lam.

Friday, September 18, 2009

PERSOALAN GHAIB

Dalam Aqidah Islam –sekaligus Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah- antara persoalan asas ialah percaya kepada kewujudan yang ghaib. Di awal surah al-Baqarah, Allah menyebutkan antara ciri orang bertakwa ialah “Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib” (ayat 3). Namun perkara ghaib yang disuruh supaya kita percaya dan kita imani bukanlah yang berdasarkan khayalan kita atau mana-mana orang, akan tetapi berdasarkan wahyu Allah (al-Quran dan as-Sunnah). Hakikat perkara ghaib ialah perkara yang wujud dan ada tetapi tidak dapat disingkap oleh pancaindera zahir manusia. Perkara ghaib bukanlah perkara yang tidak ada. Ia ada, cuma kita yang tidak dapat menanggapinya dengan mata, telinga atau deria-deria kita yang lain. Walaupun tidak nampak dan tidak didengari, namun tidak dapat kita nafikannya kerana yang mengkhabarkan keberadaannya ialah Allah, Tuhan yang menjadikan kita dan sekelian makhluk. Oleh itu, percaya kepada yang ghaib –dalam pengertian; percaya kepada perkara-perkara tidak nampak yang diberitakan kewujudannya oleh Allah dan RasulNya dalam al-Quran atau as-Sunnah- adalah bukti keyakinan kita kepada Allah dan Rasul. Dalam pengertian lain, antara kandungan iman kita kepada Allah dan Rasul ialah percaya kepada segala yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasulnya termasuklah dalam perkara-perkara ghaibiyyat yang merangkumi;

1. Kewujudan makhluk-makhluk ghaib iaitu malaikat, jin, iblis, syaitan dan ruh.
2. Kewujudan alam-alam ghaib iaitu alam barzakh dan alam akhirat
3. Peristiwa-peristiwa di akhirat; syurga, neraka, mahsyar, titian/sirat, al-haudh dan sebagainya.
4. Sifat-sifat Allah dan perbuatan-perbuatanNya.

Oleh kerana perkara ghaib bukanlah perkara khayalan tetapi perkhabaran dari Allah dan Rasul, maka tidak harus sesiapa pun mereka-reka atau mengada-ngada cerita yang ghaib tanpa nas dari Allah dan Rasul (al-Quran dan as-Sunnah). Seorang yang mendakwa atau menceritakan tentang suatu yang ghaib sedangkan perkara itu tidak ada disebut di dalam al-Quran atau al-Hadis, ia sebenarnya telah berbohong. Sebagai contoh;

1. Mendakwa kayu kokka mempunyai khasiat tertentu seperti dapat menghalau jin, menjadi pendinding atau sebagainya termasuk mendakwa ia adalah kayu bagi tongkat Nabi Musa, bahtera Nabi Nuh dan sebagainya tidak harus dakwaan itu melainkan dengan adanya nas sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah. Jika tanpa nas, pendakwanya adalah berdusta kerana perkara ghaib bukanlah rasa-rasa atau agak-agakan, tetapi mesti dengan nas dan dalil Syarak.

2. Tidak harus mendakwa suatu bacaan atau suatu bahan menjadi pelindung melainkan mesti dengan nas Syarak. Kerana itu, Rasulullah s.a.w. melarang tangkal sebagaimana sabda beliau; “Sesiapa menggantungkan tangkal, sesungguhnya ia telah syirik” (Riwayat Imam Ahmad dan ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.). “Sesiapa menggantungkan tangkal (dengan harapan Allah akan menyempurnakan hajatnya), Allah tidak akan menyempurnakan hajatnya” (Riwayat Imam Ahmad dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.) Perhatikan, hadis yang kedua menggambarkan kepada kita bahawa pemakai tangkal sebenarnya waham; mereka merasakan tangkal memberi manfaat, namun sebenarnya itu hanya khayalan mereka sahaja kerana Allah tidak akan menunaikan hasrat mereka.

Seorang muslim tidak perlukan tangkal, azimat, jampi, mentera atau sebagainya. Bagi mereka, cukup dengan perlindungan Allah yang akan mereka perolehi dengan beribadah, bertaqarrub dan mentaati Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan; “Peliharalah (hubungan kamu dengan) Allah, nescaya Allah akan pelihara kamu” (Riwayat at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Jika ingin berdoa memohon perlindungan Allah, mereka hanya akan membaca ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan zikir-zikir perlindungan yang maksur dari Rasulullah s.a.w..

3. Tukang tilik, tukang ramal dan tukang tenung adalah pekerjaan haram dan haram juga mendatangi mereka. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa mendatangani tukang tilik dan bertanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Riwayat Imam Muslim). Sabda baginda juga; “Sesiapa mendatangi tukang tilik atau pawang, lalu ia membenarkan/mempercayai apa yang dikatanya, sesungguhnya ia telah kufur terhadap wahyu yang turun kepada Muhammad” (Riwayat Imam at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat).

4. Di antara yang diharamkan oleh Islam ialah melakukan tilikan atau ramalan melalui bintang. Malah mempercayai sempena bintang sudah dilarang oleh Nabi s.a.w. dan baginda menganggapnya sebagai kufur kepada Allah. Terdapat hadis dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. yang menceritakan; Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat subuh mengimami kami di Hudaibiyah pada ketika selepas hujan di malam hari. Selesai solat, baginda mengadap ke arah kami lalu bertanya; Tahukah kamu apa yang Tuhan kamu telah katakan? Mereka menjawab; Allah dan RasulNya lah yang paling tahu. Baginda berkata; Tuhanmu telah berkata; “Di kalangan hambaku ada yang berpagi dengan beriman kepadaku dan ia kufur (kepada bintang). Adapun sesiapa yang berkata; kita dituruni hujan adalah kerana kurniaan Allah dan rahmatNya, maka orang itu adalah beriman denganKu dan kufur dengan bintang (yakni ia tidak mempercayai sempena-sempena atau ramalan-ramalan bintang). Adapun orang yang berkata; kita dituruni hujan kerana muncul atau hilang/tenggelam bintang sekian sekian, maka ia telah mengkufuriku dan ia beriman dengan bintang”. (Hadis ini terdapat di dalam Soheh Imam al-Bukhari dan juga Soheh Imam Muslim).

5. Tidak harus menyebut nama-nama malaikat melainkan dengan nama yang terdapat di dalam al-Quran atau as-Sunnah. Kita biasa mendengar pengamal-pengamal perubatan traditional Melayu menyebutkan nama-nama yang pelik dalam jampi-jampi mereka. Bila ditanya, mereka menjawab; “Itu adalah nama-nama malaikat”. Maka perlu dijelaskan; orang yang mendakwa nama-nama malaikat, walhal nama-nama itu tidak ada di dalam al-Quran atau as-Sunnah, ia sebenarnya terbohong. Mungkin nama-nama itu adalah jin-jin yang dipujanya. Jika benar sekalipun nama itu adalah nama malaikat, perbuatan itu tetap berdosa kerana kita hanya disuruh berdoa kepada Allah dan dilarang kita menyengutukan Allah dengan sesiapa sahaja termasuk malaikatnya.

6. Melukis wajah jin atau melakonkan watak jin termasuk cerita-cerita hantu yang berleluasa dalam TV hari ini merupakan satu pendustaan dan pembohongan. Ia bertentangan dengan agama kerana akan menyuburkan kepercayaan khurafat dan karut marut di dalam masyarakat. Walaupun sekadar hiburan, tidak harus –di sisi agama- kita berhibur dengan perkara yang memudaratkan apatahlagi memudaratkan aqidah dan kepercayaan.

7. Batu-batu; mendakwa sesuatu batu itu mempunyai kelebihan; jika kelebihan yang didakwa itu dari sudut sains atau perubatan, terserahlah kepada ahli-ahli sains dan dan ahli-ahli perubatan untuk mengesahkannya sama ada benar atau tidak dakwaan itu. Namun jika kelebihan yang didakwa itu bersangkutan dengan perkara ghaib (seperti boleh menjadi pendinding, menyembuhkan penyakit secara ghaib, boleh menghalau jin, hantu dan sebagainya), maka orang yang mendakwanya mesti membawa nas Syarak. Jika tidak, ia adalah berdusta dan menggunakan agama untuk kepentingan diri.

Saidina ‘Umar r.a. tatkala mengucup Hajarul Aswad (batu hitam di penjuru di Kaabah), beliau berkata; “Aku mengetahui bahawa engkau hanyalah batu yang tidak berkuasa memberi mudarat dan juga memberi manfaat. Kalau tidak kerana melihat Rasullulah saw mengucupmu, nescaya aku tidak akan mengucupmu” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Seharusnya seorang muslim sentiasa berhati-hati dalam masalah aqidah termasuk kepercayaan dan keyakinan kepada perkara ghaib. Aqidah yang benar ialah yang datang dari al-Quran dan as-Sunnah. Jangan benarkan sewenang-wenangnya sebarang maklumat tentang aqidah masuk ke dalam akal dan pemikiran saudara. Jangan terima maklumat tentang aqidah yang tidak menepati al-Quran dan as-Sunnah. Saudara perlu bertegas dengan diri saudara dalam perkara ini. Malah dalam semua ilmu, kita perlu ada ketegasan dalam memerhati sumbernya. Imam Ibnu Sirin (seorang ulamak tabi’in terkenal) pernah menasihatkan; “Ilmu adalah agama. Maka hendaklah kamu perhati dari siapa kamu mengambil agama kamu” (Soheh Muslim).

Wallahu a’lam.

Tuesday, July 21, 2009

PERBEZAAN AHLUS-SUNNAH, JABARIYAH DAN MUKTAZILAH

Soalan;

Saya sebenarnya keliru dalam beberape perkara agama. Alhamdulillah, Saya ada belajar sedikit ilmu tauhid dari seorang ust di johor. Kami belajar kitab akidatun najim. Di samping itu, ust ada jugak bukak beberape kitab laen seperti kiyafatul awam, faridah an dll. Ape pendapat ust tentang kitab2 tersebut? Ape perbezaan antara ahli sunnah, jabariyah dan muktazillah. Saye harap ust dapat menerangkan kepada saye. Terima kasih, jazakawwah.

Jawapan;

Kitab-kitab yang saudara sebut itu adalah kitab-kitab pengajian aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah mengikut mazhab Imam Abul-Hasan al-Asy’ari. Pengajian aqidah mengikut tariq atau mazhab ini dilalui oleh kebanyakan ulamak muktabar seperti Imam al-Ghazali, Imam Nawawi, As-Suyuti, Ibnu Hajar dan sebagainya. Selain itu, ada dua lagi tariq atau mazhab yang masyhur dalam pengajian aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah, iaitu;

a) Tariq atau mazhab Imam Abu Hanifah yang dikenali dengan al-Fiqh al-Akbar. Terdapat kitab Aqidah yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah sendiri bertajuk sedemikian (yakni “al-Fiqh al-Akbar”) yang disyarah oleh Mulla ‘Ali al-Qari. Namun kitab yang masyhur yang dipelajari hingga hari ini dalam pengajian aqidah mengikut tariq ini ialah Matan ‘Aqidah at-Thahawiyyah yang ditulis oleh Imam Abu Jaafar at-Thahawi.

b) Tariq Imam Ahmad bin Hambal yang iaitu tariq Ahlul Hadis. Tariq ini lah yang melahirkan aliran Salafi hari ini.

Antara perkara yang menjadi dasar dalam Aqidah Ahlus Sunnah ialah;

1. Mengambil jalan tengah dalam persoalan ikhtiyar manusia (yakni adakah manusia mempunyai pilihan atau tidak?) iaitu dengan mengiktiqadkan bahawa manusia diberi kuasa memilih oleh Allah tetapi ia tetap tertakluk dengan taqdir Allah, yakni kuasa memilih manusia tidaklah mutlak, sebaliknya terikat dengan qudrah dan iradah Allah. Iktiqad ini menyalahi mazhab Qadariyah (yakni golongan yang menolak taqdir) yang menyebutkan manusia bebas memilih sepenuhnya tanpa terikat dengan taqdir Allah dan begitu juga, menyalahi mazhab Jabariyah atau Murjiah yang menyebutkan manusia terikat sepenuhnya tanpa ada kebebasan memilih sedikitpun.

2. Merujuk ilmu Aqidah kepada al-Quran dan as-Sunnah. Ini berbeza dengan mazhab Muktazilah yang merujuk ilmu aqidah kepada akal rasional.

3. Mendahulukan Nas (yakni wahyu) ke atas akal. Berbeza dengan mazhab Muktazilah yang mendahulukan akal ke atas nas.

4. Menurut Ahlu Sunnah al-Quran bukan makhluk, namun menurut Muktazilah al-Quran adalah makhluk.

5. Menghormati sekelian para sahabat dengan mengiktiqadkan semua mereka adalah adil. Adapun pertikaian yang berlaku antara mereka diserahkan kepada Allah. Iktiqad ini berbeza dengan Syiah yang menganggap sebahagian sahabat adalah fasiq, malah ada dikalangan sahabat yang dikafirkan mereka.

6. Menolak fahaman Wehdatul-Wujud yang dianuti oleh sebahagian ahli Falsafah Islam silam dan sebahagian tarekat kesufian.

Di zaman moden hari ini, fahaman yang jelas bercanggah dengan Aqidah Ahlu Sunnah ialah ideologi-ideologi seperti Sekularisme, Komunisme, Pluranisme, Libralisme dan sebagainya yang bercanggah dengan Aqidah dan Syari’at Islam.

Wallahu A’lam.

Sunday, July 19, 2009

BAGAIMANA UNTUK MENGENALI AHLUS-SUNNAH WAL JAMA’AH?

Banyak cara untuk mengenalinya, antara yang asas;

1. Cara berfikir; Ahlus-Sunnah berfikir dengan meletakkan wahyu ditangga teratas, kemudian baru disusuli dengan aqal (mantic, qiyas, logical dan sebagainya). Maksud wahyu ialah al-Quran dan as-Sunnah.

2. Rujukan; Ahlus-Sunnah rujukan mereka ialah al-Quran dan as-Sunnah. Dalam memahami al-Quran, mereka merujuk kepada ulamak-ulamak Tafsir di kalangan Ahlus-Sunnah seperti Imam at-Thabari, Imam al-Baghawi, Imam Ibnu Kathir dan sebagainya. Tentang rujukan dalam Sunnah Nabi; Ahlus-Sunnah akan merujuk kepada kitab-kitab himpunan hadis yang muktabar seperti Soheh Imam al-Bukhari, Soheh Imam Muslim dan sebagainya. Dalam memahami al-hadis, Ahlus-Sunnah akan merujuk kepada syarah-syarah hadis yang muktabar dari kalangan ulamak-ulamak Sunnah seperti Imam al-Khattabi, Imam Ibnu Hajar, Imam an-Nawawi dan sebagainya.

Golongan Ahlul-Dhalal Wal- Furqah mereka menolak rujukan-rujukan dan ulamak-ulamak di atas. Kelompok syiah umpamanya menolak Soheh al-Bukhari, Soheh Muslim dan sebagainya kerana mereka mempunyai kitab-kitab himpunan astar mereka sendiri seperti al-Kafi tulisan Imam al-Kulaini. Dalam tafsiran al-Quran juga mereka menolak ulamak-ulamak di atas kerana mereka mempunyai ulamak Tafsir mereka sendiri. Cara penafsiran dan pentakwilan juga berbeza.

3. Dalam Furu’ ad-Din (masalah-masalah cabang agama iaitu al-Fiqh); ulamak-ulamak Ahlus-Sunnah memutuskan hukum berdasarkan ijtihad mereka dari nas al-Quran dan as-Sunnah. Bagi orang awam yang tidak mampu berijtihad, mereka akan merujuk kepada imam-imam mujtahid dari kalangan Ahlus-Sunnah seperti Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Malik, Imam Ahmad dan sebagainya.

4. Di dalam pegangan Ahlus-Sunnah tidak ada imam maksum. Yang maksum hanyalah Nabi Muhammad s.a.w. sahaja. Kerana itu, para imam mujtahid boleh betul dan boleh tersalah dalam ijtihad mereka. Namun kesalahan mereka akan dibetulkan oleh mujtahid lain yang hidup sezaman atau selepas mereka. Pegangan Ahlus-Sunnah ini berbeza dengan Syiah yang menganggap imam-imam mereka adalah maksum.

5. Ahlus-Sunnah menghormati dan menyanjung tinggi para sahabat. Bagi Ahlus-Sunnah; ke semua sahabat adalah ‘adil (yakni beriman dan bertakwa). Ahlus-Sunnah sekali-kali tidak akan mengutuk dan mengeji para sahabat. Walaupun terdapat perbalahan di kalangan sahabat dalam beberapa peristiwa, namun itu –di sisi Ahlus-Sunnah- bukan alasan untuk membolehkan kita mengasihi sebahagian sahabat dan mengeji sebahagian yang lain. Sebaliknya kita menyerahkan perbalahan itu kepada Allah dan kita terus kekal mengasihi semua mereka dan mendoakan keampunan Allah untuk mereka. Kita meredhai mereka sebagaimana Allah telah meredhai mereka. Pegangan Ahlus-Sunnah ini berbeza pegangan Syiah yang menjadikan kutukan terhadap para sahabat sebagai antara usul utama pegangan mereka. Bukan Syiah jika tidak berani menghina dan mengeji para sahabat. Termasuk yang sentiasa dikeji mereka ialah dua sahabat paling besar di mata Ahlus-Sunnah iaitu Abu Bakar dan Umar.

6. Ahlus-Sunnah berpegang dengan prinsip kesederhanaan yang menjadi asas ajaran Islam, iaitu berada di tengah-tengah antara al-Tafrit (التفريط) dan at-Ifrat (الإفراط), yakni antara lalai dan melampau, antara alpa dan berlebih-lebihan. Contohnya;

a) Dalam mengasihi Ahlul-Bait (ahli keluarga Nabi; Saidina ‘Ali, Fatimah, al-Hasan, al-Husain dan sebagainya); Ahlus-Sunnah tidak lalai dari mengasihi mereka. Mereka dicintai dan disanjungi. Dalam selawat, Ahlus-Sunnah tidak pernah lupa berselawat kepada ahli keluarga Nabi di samping berselawat kepada Nabi sendiri; “Allahum Shalli ‘Ala Muhammadin, Wa ‘Ala Ali Muhammadin”. Namun, Ahlus-Sunnah tidaklah berlebihan dalam mengasihi Ahlul-Bait itu hingga menganggap mereka sebagai maksum sebagaimana Syi’ah. Malah ada kelompok Syia’h yang menganggap darjat ‘Ali lebih utama dari Nabi Muhammad s.a.w.. Begitu juga, Ahlus-Sunnah tidak taasub kepada Ahlul-Bait hingga merendah-rendahkan sahabat-sahabat yang lain.[1]

b) Ahlus-Sunnah tidak bersetuju dengan perbalahan yang berlaku di kalangan sahabat dalam peristiwa peperangan Jamal, Siffin dan sebagainya. Namun tidaklah sampai mengeji dan menghina mereka. Ahlus-Sunnah mengambil periktibaran dari peristiwa yang berlaku, namun perasaan kasih dan sayang kepada para sahabat tetap kekal dalam hati setiap individu ahlus-sunnah melihat kepada jasa mereka yang amat besar kepada Nabi, kepada agama dan ummah. Ahlus-Sunnah tidak pernah meletakkan para sahabat sebagai maksum, kerana itu mereka boleh tersalah dalam tindakan mereka dan kerana itu kita yang hidup kemudian selepas mereka disuruh oleh Allah agar sentiasa mendoakan keampunan Allah untuk mereka (lihat; surah al-Hasyr, ayat 10).

c) Ahlus-Sunnah memberi ruang kepada akal tetapi tidaklah sampai meletakkannya di atas dari wahyu sebagaimana yang dilakukan oleh Muktazilah. Ahlus-Sunnah tidak pernah mengenepikan akal. Dalam berhujjah dalam masalah Aqidah, Ahlus-Sunnah sentiasa menggunakan dua hujjah, iaitu;
1. Hujjah Naqli; iaitu al-Quran dan as-Sunnah
2. Hujjah ‘Aqli; iaitu mantic, logical dan rasional.

Walaupun aqal digunakan, namun dalam pegangan Ahlus-Sunnah aqal mempunyai had kemampuannya. Kerana itu, ia tidak boleh mengatasi wahyu Allah, sebaliknya hendaklah dipandu oleh wahyu Allah. Apabila bertembung tuntutan wahyu dengan pandangan akal, wahyulah yang perlu diutamakan, bukan akal. Pegangan ini berbeza dengan Muktazilah dahulu dan Neo-Muktazilah sekarang (sekularis, golongan islam liberal, anti hadis dan sebagainya) yang mengagung-agungkan akal sebagai segala-galanya.

c) Dalam iradah dan iktiyar manusia (yakni adakah manusia mempunyai kehendak dan pilihan sendiri atau tidak?), Ahlus-Sunnah mengiktiqadkan bahawa manusia diberi kuasa memilih oleh Allah tetapi ia tetap tertakluk dengan taqdir Allah, yakni kuasa memilih manusia tidaklah mutlak, sebaliknya terikat dengan qudrah dan iradah Allah. Iktiqad ini menyalahi mazhab Qadariyah (yakni golongan yang menolak taqdir) yang menyebutkan manusia bebas memilih sepenuhnya tanpa terikat dengan taqdir Allah dan begitu juga, menyalahi mazhab Jabariyah atau Murjiah yang menyebutkan manusia terikat sepenuhnya tanpa ada kebebasan memilih sedikitpun.

Wallahu a’lam.

[1] Ahlus-Sunnah berasa sedih dengan kematian al-Husain dan keluarga Nabi di Karbala’, namun tidaklah sampai meratap dan meraung dalam memperingati peristiwa tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh Syia’ah. Di dalam hadis, Rasulullah melarang kita meratapi mayat.

AHLUS-SUNNAH; JANJI ALLAH

Kemunculan Ahlus-Sunnah sebagai golongan yang akan mempertahankan Islam dan ajaran wahyu telah disebut oleh Allah di dalam al-Quran dan juga oleh RasulNya di dalam as-Sunnah atau al-Hadis. Di dalam al-Quran, Allah berfirman;

“Wahai orang-orang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Demikian itu adalah kurniaan Allah yang diberiNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah maha luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya”. (Surah al-Maidah, ayat 54)

Ayat di atas merupakan janji Allah untuk umat ini bahawa jika berlaku kesesatan di kalangan mereka sehingga ada yang murtad dari agama, Ia akan mendatangkan kaum yang terus teguh berpegang dengan ajaran Allah dan mempertahankannya. Perkataan qaum (قوم) bermakna kelompok, kumpulan atau jamaah. Ayat ini mengisyaratkan bahawa Islam tidak akan dipertahankan secara individu, sebaliknya secara Jamaah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan juga;

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين حتى يأتيهم أمر الله وهم ظاهرون
“Akan senantiasa ada satu puak dari umatku yang dimenangkan oleh Allah (di atas jalan al-haq/kebenaran) hingga datangnya urusan Allah (iaitu hari kiamat) dan mereka akan terus mendapat kemenangan” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari al-Mughirah r.a.. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 9770).

Kita meyakini bahawa qaum atau kelompok yang dimaksudkan oleh Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. di atas ialah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah. Keyakinan ini berdasarkan pesanan Nabi s.a.w. sendiri kepada para sahabatnya;

وَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافاً كَثِيراً، فَعَليْكُم بسُنَّتِي وَسُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدينَ المَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْها بالنَّواجِذِ، وَإيَّاكُمْ وَمُحْدَثاتِ الأُمُورِ، فإنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ"
“Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di kalangan kamu ia pasti akan melihat perpecahan yang banyak. Maka hendaklah kamu sekelian berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rasyidin selepasku. Gigitlah ia (yakni pertahankanlah ia) dengan geraham-geraham kamu. Hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara baru yang diada-adakan, kerana sesungguhnya setiap perkara baru (dalam agama) adalah kesesatan”. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi dari al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Hadis ini merupakan ramalan Rasulullah tentang perpecahan yang akan berlaku di kalangan umat Islam dan ramalan baginda telah terbukti tepat. Bahtera penyelamat yang disebut oleh Nabi ialah “Berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rasyidin selepasku”. Ini mengisyaratkan bahawa Ahlus-Sunnah adalah golongan kebenaran sepanjang zaman dan merekalah yang merupakan Qaum atau Thoifah yang dimaksudkan oleh ayat al-Quran dan al-Hadis tadi.

Lebih jelas lagi, di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. telah mengkhabarkan bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 golongan; 72 akan masuk neraka dan hanya satu akan berada di dalam syurga. Yang satu itu ialah orang-orang yang berada di atas jalan Sunnah Nabi dan para sahabatnya. Baginda bersabda;

ان بني اسرائيل تفرقت على ثنتين وسبعين ملة، وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار الا ملة واحدة، قال من هي يا رسول اللّه؟ قال: ما أنا عليه وأصحابي.
“Sesungguhnya Bani Israel (umat Yahudi) telah berpecah kepada 72 pegangan dan umatku pula akan berpecah kepada 73 pegangan; semua mereka akan berada dalam neraka kecuali satu pegangan sahaja”. Baginda ditanya; “Siapakah mereka yang terkecuali dari neraka itu, wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab; “Iaitu mereka yang berada di atas jalanku dan para sahabatku”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Amru r.a.).

Di dalam hadis yang lain, baginda berkata; golongan yang terkecuali (dari neraka) itu ialah “Orang-orang yang berada dalam jamaah”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan al-Baihaqi dari ‘Auf bin Malik r.a.). Menurut ulamak; maksud jamaah itu ialah kelompok yang menepati para sahabat, berpegang dengan aqidah mereka dan pandangan mereka.

Wallahu a’lam.

SIAPA AHLUS-SUNNAH WAL-JAMAAH?

Perkataan Ahl (أهل) bermaksud orang yang bersama atau yang menyertai. As-Sunnah bermaksud Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. iaitu ajaran baginda yang berteraskan wahyu Allah (al-Quran dan al-Hadis). Al-Jama’ah adalah merujuk kepada al-Ijtima’ iaitu kesatuan. Ada ulamak mengkhuskan al-Jamaah yang dimaksudkan itu ialah kelompok para sahabat dan as-Salaf Soleh (iaitu generasi awal Islam yang kukuh pegangan mereka dengan ajaran Nabi s.a.w.). Maksud Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah ialah orang yang berpegang dengan Sunnah Nabi (iaitu al-Quran dan al-Hadis) dan mereka bersatu dalam pegangan tersebut atau mereka bersama generasi sahabat dan as-salafussoleh dalam pegangan tersebut.

Lawan kepada Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah ialah Ahlul-Dhalal Wa al-Furqah iaitu golongan kesesatan (yang menentang ajaran Nabi) dan penyebab pecah-belah di kalangan umat (yakni mereka memecahkan kesatuan umat Islam dengan mengasaskan fahaman baru yang bercanggah dengan Sunnah Nabi hingga timbulnya Syiah, Muktazilah, Jabariyah, Qadaniyah dan sebagainya lagi dari Firqah-Firqah yang sesat, termasuk juga Firqah-Firqah sesat hari ini, iaitu Sekularis, Sosialis, golongan Islam Liberal, anti hadis dan sebagainya).

Kewujudan Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah dari satu segi merupakan tuntutan Syarak dan dari satu segi lain adalah janji Allah untuk umat ini. Dari segi tuntutan Syarak dapat kita lihat dalam firman Allah berikut;

“Dan (Allah) telah mensyari’atkan untuk kamu agama yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepada kamu (wahai Muhammad), dan apa yang telah Kami wasiatkannya kepada Ibrahim, Musa dan Isa; iaitu hendaklah kamu menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah di dalamnya” (Surah as-Syura, ayat 13).

Ada dua perintah Allah di dalam ayat di atas;
1. Menegakkan agama; iaitu dengan menegakkan Sunnah Nabi s.a.w..
2. Jangan berpecah-belah; iaitu dengan kita membina kesatuan di atas Sunnah tersebut tanpa kita berpaling kepada fahaman atau ideology lain yang sudah tentunya akan menimbulkan perpecahan di kalangan ummah.

Dari segi janji Allah untuk umat ini, kemunculan Ahlus-Sunnah sebagai golongan kebenaran yang akan mempertahankan Islam telah disebut oleh al-Quran dan al-Hadis. Kita akan huraikannya dalam tajuk khusus, insya Allah.

Sebagai kesimpulan, Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah ialah kelompok yang berpegang-teguh dengan Sunnah Nabi s.a.w. dan mereka bersatu dalam pegangan tersebut. As-Sunnah yang kita maksudkan ialah ajaran Nabi Muhammad s.a.w. yang berteraskan wahyu Allah (iaitu al-Quran dan al-Hadis) dan menjadi ikutan para sahabat dan salafussoleh.

Wallahu a’lam.